Proses Penamaan Calun bagi mengisi kekosongan P.094 telah berjalan dengan penuh demokratik. Empat orang telah dinamakan sebagai Calun. Dua orang mewakili Parti manakala dua lagi bertanding sebagai calun-calun Bebas. Secara resmi gelanggang kempen sudahpun dibuka.
Parti PKR yang mewakili Pakatan Rakyat dilihat mampu mengekalkan Kerusi tersebut. Walaupun Allahyarham Dato Zainal Abidin sentiasa sahaja keluar masuk hospital, kebajikan masyarakat dalam kawasan Parlimen ini tetap dilaksanakan melalui Penyelia-Penyelia DUN yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Tan Sri Menteri Besar.
Bagi Barisan Nasional pula dari awal lagi telah dilihat sedang berdepan dengan pelbagai masaalah. Sebaik sahaja selesai urusan Penamaan Calun, BN terpaksa dengan cara drastik memecat dua orang dari Parti Komponen mereka kerana bertanding sebagai Calun Bebas. Semua orang tahu calun-calun yang bertanding secara bersendirian tidak akan mendapat apa-apa keuntungan malah besar kemungkinan akan kehilangan Wang Pertaruhan. Tetapi mereka yang bertanding sebagai Calun Bebas ini merasa puas kerana apa yang mereka lakukan ini adalah merupakan satu Protes kepada pimpinan Barisan Nasional sebab telah membelakangkan kehendak akar umbi. Dalam lain-lain perkataan BN terpaksa mengambil banyak masa memperjelaskan kepada penyokong-penyokong mereka mengapa calun-calun favourite ditolak.
Dalam apa keadaanpun Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan UMNO bolehlah berbangga kerana cabarannya telah disambut oleh Encik VS Chandran yang bertanding menggunakan lambang Jam Loceng. Parti PKR tidak dapat menyahut cabaran beliau itu oleh kerana kepentingan 53 % Pengundi melayu mesti diutamakan. Istilah-Istilah seperti Kerusi Selamat dan Bukti Setiakawan hanya terpakai dalam Barisan Nasional. Dalam realitinya seseorang Wakil itu hendaklah datang dari kumpulan yang majoriti.
Walaupun saya sedikit kecewa kerana tidak ada calun dari kalangan Blogger , kehadiran Johan Mohd Diah dan VS Chandran sudah cukup untuk mewakili “The 3rd choice”.