Saya sedang mengikuti polimik tentang sambutan memperingati tarikh Kemerdekaan negara kita bagi kali yang ke 55. Dipihak Pemerintah mereka merasakan menamakan apa sahaja tema setiap tahun perayaan hari keramat itu adalah hak mutlak mereka. Saya juga tidak membantah mengenai prerogative yang dimiliki BN, Parti yang sedang memerintah. Akan tetapi apapun alasannya memberikan tema ” Janji Ditepati ” kepada hari kebesaran negara itu telah terlalu jauh menyimpang daripada maksud menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.
Adapun perkataan yang bersangkut dengan Janji adalah merupakan satu hutang. Sebagai contoh semasa mula memasuki gerbang perkahwinan sepasang kekasih itu akan bertukar-tukar janji untuk memberikan keyakinan yang setiap mereka akan melakukan yang terbaik terhadap pasangan. Begitu juga halnya dengan urusan pinjam meminjam. Si Peminjam berjanji memulangkan barang yang dipinjam tepat pada masanya dan berbagai janji-janji lain yang ditabur.
Dalam hal tema hebat BN ini saya tetap mengatakan ia tidak kena pada tempatnya. Jika hendak dihayati erti Janji Ditepati itu kita (rakyat) kena tahu apa yang dijanji dan setakat mana janji tersebut telah ditepati. Jadi bukankah pihak (rakyat) yang menagih janji yang berhak mengatakan Janji Telah Ditepati sekiranya benar janji-janji tersebut telah ditepati.
Apa yang sedang berlaku ini nampaknya sama seperti kata kiasan “Masuk Bakul Angkat Sendiri”. Kemudian ambil kesempatan disaat negara mahu merayakan/memperingati detik-detik Kemerdekaan. Bagi saya jika temanya ” 55 Tahun Bukan Sekadar Angka ” pun ia sudah cukup canteeek.
Jika saya ditanya apa akan saya lakukan setelah saya berjaya melunaskan sesuatu janji, saya lebih suka tidak diketahui umum atau dalam bahasa berseninya “tangan kiri tak nampakpun apa yang tangan kanan bagi”.
Sekian, selamat berpuasa, selamat berbuka dan kurang lebih 2 minggu lagi selamat berraya.