Selama ini kita hanya mendengar orang menyebut Win, Win sebagai menghindarkan perbalahan. Sewaktu kecil lagi saya dan rakan telah mengamalkan konsep ini. Sebagai contoh, didalam permainan guli saya dapat bertong-tong guli akan tetapi Mat Rafik yang dicanangkan sebagai pemenang. Saya tak kisahpun yang ianya terjadi macam itu. Setiap kali main saya juga yang dapat bawa balik bertimbun-timbun guli dan setiap kali jugalah Mat Rafik diistihar pemenang. Saya tetap bangga, walaupun tak dapat nama (pemenang) tetapi saya puas dapat kumpul selagi ada guli diPadang Changkat.
Kepada soalan mengapa ianya jadi begitu? Jawapan yang saya tahu sebenarnya mudah saja. Mat Rafik berbadan tegap, tidak sanggup menjadi pengalah (pinjam kata-kata Vince AF1). Yang saya tak pernah terfikir ialah apabila dalam politikpun kaedah serupa digunapakai.
Dalam Isu Lynas Corp, terlalu ramai NGO yang tampil membantah pembinaan Loji rare earth diGebeng, Kuantan. Perkara sama pernah dibuat diBukit Merah, Lahat, Ipoh dan masih segar dalam ingatan penduduk yang terlibat. Projek ARE (Asian Rare Earth) Bukit Merah mula beroperasi pertengahan tahun 1982. Selepas melalui bantahan demi bantahan selama 12 tahun Plant ARE diBukit Merah ditutup 19.1.1994.
Pihak yang bertanggungjawab tidak belajar daripada kesilapan tersebut ataupun Kerajaan yang ada sekarang yang telah terlalu lama memerintah dan sudah terlupa akan peristiwa tersebut. Daripada lapuran berita diTV Perdana Menteri dipetik sebagai berkata banyak lapuran yang memberi perakuan kegiatan diloji tersebut adalah selamat dan tidak membahayakan sesiapa. Hanya oleh sebab ada bantahan daripada penduduk setempat, pembuangan sisa-sisa yang berkaitan akan dipindahkan ketempat lain.
Dengan itu kaedah menang, menang (win, win) seperti berikut dilihat amat praktikal untuk kedua-dua pihak. Pihak Himpunan Hijau 2.0 berjaya mendapatkan gesture angkat topi dari pihak Lynas kerana bersedia berbelanja lebih memindahkan tempat pelupusan jauh dari tempat asal dan secara demokratiknya pihak Lynas boleh meneruskan kegiatannya berpandu kepada lapuran-lapuran saintifik yang memperakukan Plant rare earth diGebeng itu cukup selamat. Tidak perlu difikirkan jika ditempat ubahalih yang baru itu juga akan mendapat bantahan. Itukan lambat lagi. Teruskan berunding, setidak-tidak hingga 12 tahun seperti diBukit Merah.
Konsep menang, menang atau win, win hanya terpakai kepada dua pihak (Pengusaha Loji dan NGO seperti Himpunan Hijau 2.0) sahaja. Pihak ketiga (rakyat) tidak dapat terlibat kerana mustahil boleh diujudkan suasana win, win, win dimana semuanya pemenang. Yang pastinya dalam Isu Lynas ini memang ada terdapat pengalah.