Saya memetik tulisan dalam Akhbar Sinar (Edisi 22.01.12) berkaitan dengan upacara penyampaian Baucher Bantuan Rakyat Satu Malaysia bagi Daerah Kuala Kangsar. Akhbar tersebut melaporkan yang ADUN Manong yang juga merupakan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan memohon derma daripada penerima-penerima Bantuan RM500.00 tersebut.
Saya berasal dari Kuala Kangsar hanya menetap dibandar lain. Saya cukup terkejut bila membaca amaran tersebut. Apa, orang kualer ni duit sebanyak RM500.00 pun tak pandai nak urus ke? Saya percaya keputusan Kerajaan Malaysia menghulurkan bantuan tersebut adalah diatas kesedaran yang harga barang-barang keperluan rakyat meningkat naik dengan mendadak. Saya yakin mereka akan gunakan wang tersebut sebagai menampung pembelian barang runcit keperluan isi rumah mereka. Jika ada pun lebih, mereka mungkin gunakan membayar bil-bil Air atau Hasil Tanah.
Memang saya sedar Parti bukan BN sangat-sangat bergantung kepada derma daripada ahli-ahli dan lazimnya mereka menderma seringgit-dua sahaja tetapi sentiasa. Mereka sekali-kali tidak menunggu Durian Runtuh baru hendak menderma.
Pihak yang menyumbang bantuan ini sebenarnya telah mendapat liputan publisiti yang begitu meluas semenjak ianya diumumkan. Saya percaya orang-orang yang menerima bantuan tersebut sudah tidak perlu kepada nasihat susulan atau ( after-sale -service ).
Tidak semestinya orang-orang Parti sahaja yang suka mengambil kesempatan, peniaga- peniagapun boleh datang kerumah-rumah membuat promosi barangan mereka. Jika mereka terpengaruh dengan jurujual-jurujual yang datang ketetangga siapa pula yang patut memberikan khidmat nasihat?
Yang jelas mengambil kesempatan adalah pihak-pihak yang menonjol diri sewaktu penyampaian baucher-baucer tersebut. Pendek kata Sebelumnya mencari publisiti dan seSudahnya mencari undi.