Dewasa ini Parti (BN) yang memerintah bersungguh-sungguh benar mahu melakukan Transformasi didalam pentadbirannya. Orang biasa macam saya merasa kecut perut setiap kali perkataan itu disebut pimpinan negara.
Saya percaya ini merupakan satu perkara besar jika tidak masakan ianya disebut oleh orang-orang besar. Tanpa berlengah saya mencapai Kamus Dwibahasa lalu terjumpalah perkataan keramat ” Transformation ” sebelum ia dialih bahasa sebagai transformasi. Maklumat mengenainya didalam Internet adalah seperti berikut:
“Defination of transformation: a. The act or instance of transforming
b. The state of being transformed ”
Agak lama juga saya berfikir apakah dia sebenarnya transformasi ini. Didalam Rancangan-rancangan bualbicara diAstro AWANI seperti Sudut Pandang, Agenda Awani, Meja Bulat dan sebagainya kerap juga perkataan Transformasi terpacul daripada mulut ahli-ahli panel yang menjadi tetamu rancangan tersebut. Ahli-ahli panel terdiri daripada orang-orang hebat dan termasuk para cendekiawan yang terkenal. Malang sekali makin banyak saya menonton rancangan-rancangan tersebut makin susah saya hendak faham apakah bendanya transformasi itu.
Semalam (19.07.2011) saya berubah angin lalu meninjau ke TV1 dan tv 2. Kedua-dua channel tersebut menyiarkan rancangan secara “live” . TV1 disiar secara langsung musabakah (penghayatan surah-surah al-Qur`an) peringkat Antarabangsa iaitu acara tahunan yang telah ujud sejak zaman Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Pertama lagi manakala di TV2 disiar secara langsung juga satu Rancangan Hiburan Bakat TV berkonsep transformasi.
Saya tidak mempertikai hak pihak berkuasa diRTM dalam menerbitkan rancangan hiburan seperti itu. Yang saya kesalkan mengapa ianya dibuat serentak dengan masa para qari dan qariah mengalunkan ayat-ayat suci dari al-Quran. Apakah yang membuatkan mereka begitu terdesak sehingga rancangan hiburan sebegini tidak boleh ditangguhkan. Apa salahnya Malam Kemuncak Bakat TV itu diadakan setelah kita selesai mengerjakan Ibadat Puasa dibulan Ramadan?
Kita semua maklum orang-orang kita terlalu dahagakan hiburan, maka berduyun-duyunlah mereka berubah keTV2. DiTV1 jika ianya disiarkan juga “live” kenegara-negara peserta antarabangsa saya pasti ramai jugalah orang-orang Islam menontonnya. Para peminat hiburan juga teruja untuk menonton Bakat TV itu kerana Pak Menteri ada hadir sebagai tetamu kehurmat.
Pak Menteri ataupun pegawai-pegawainya diRTM tidak perlu menjawab teguran ini. Saya percaya rakyat gelata yang sudah semakin cerdik akan lebih berminat untuk menukar pemerintah (Reformasi) daripada dikecewakan oleh usaha-usaha seperti yang disebut diatas.