Terpanggil setelah mendengar kisah mimpi zahid mat arip sebenarnya semalam sayapun bermimpi juga. Dalam keadaan yang begitu panas sukar sekali untuk melelapkan mata. Walau bagaimanapun saya terlena juga akhirnya. Saya terjaga sebaik sahaja jam loceng mengejutkan untuk saya menunaikan solat subuh.
Setelah selesai mengerjakan solat bersendirian saya tersedar yang malam tadi saya ada bermimpi. Seperti sdra zahid, saya juga mahu kongsikan mimpi ini dengan rakyat supaya menjadi peringatan.
Saya bermimpi bahan makanan sangat berkurangan dipasaran. Negara-negara yang pada kebiasaannya menjadi pengeluar bahan-bahan seperti beras, gandum dan jagung hanya mampu membekalkan bagi kegunaan dalam negara mereka sendiri sahaja. Rata-rata rakyat mengzahirkan rasa kesal kerana selama ini membiarkan tanah yang subur dipenuhi semak samun saja. Kawasan yang dulunya bendang kini terbiar seperti padang bola yang tidak diurus. Saya sendiripun didalam mimpi itu kehulu kehilir mencari bahan makanan. Saya pasti tidak ada apa lagi yang dapat saya pertahankan jika perut masih tidak diisi.
Kini setelah saya sedar akan ngerinya mimpi seperti itu, saya akan terus berdoa kepada Yang Maha Berkuasa supaya ianya tidak menjadi kenyataan. ya Allah, selamatkan negara dan rakyat Malaysia dari ditimpa bencana seperti dalam mimpi saya itu. Kita mempunyai tugas besar untuk meletakan negara ini sebagai negara maju pada tahun 2020.
Akhir sekali saya bersyukur kerana mendapat mimpi yang sebegini. Setidak-tidaknya ia menginsafkan diri saya sendiri tentang menghargai kehidupan. Kepada sdra zahid mat arip saya berharap dimasa-masa kehadapan ini beliau akan mendapat mimpi yang lebih canggih untuk dijadikan petunjuk cara-cara menyelamatkan taukeh politik beliau. Penutup bicara buat kata Azlina Aziz “Kerana Mimpi Hanya Mimpi”.