Berita tentang 250 orang dari Cabang Lembah Pantai keluar PKR kerana mahu aktif dalam aktiviti NGO amatlah memalukan. Mereka ini duduk ditengah-tengah Bandaraya tetapi tidak tahu membezakan diantara Parti Politik dengan Badan Bukan Kerajaan sampai kena keluar parti untuk menyertai NGO. Nasib baik mereka dari PKR. Jikalau dari UMNO bukankah mereka bertanggungjawab mengaibkan parti gergasi itu dimata dunia.
Jika dengan pengumuman tersebut mereka rasa mereka telah berjaya melemahkan PKR, sukalah saya dengan ikhlas menghulurkan simpati. Janganlah diulangi lagi cara yang salah ini. Sebenarnya sesiapapun boleh menyertai beberapa banyak NGO tanpa perlu keluar sebagai ahli parti politik.
Dipihak Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) saya percaya keluarnya kumpulan 250 tersebut telah banyak membantu memantapkan parti. Setidak-tidaknya yang masih berada didalam parti adalah terdiri daripada mereka yang bijak-bijak sahaja.
Saya turut percaya kepada lapuran-lapuran media (akbar saluran perdana) yang setiap hari ada sahaja ahli PKR yang keluar parti. Sebagai contoh diIpoh Barat seingat saya sudah berpuloh-puloh ribu ahli keluar parti dan beberapa sidang akhbar yang diadakan juga telah mendapat liputan yang meluas. Namun saya perhatikan masih ramai ahli dari kalangan dewasa, wanita dan Angkatan Muda berdaftar diCabang tersebut.
Pimpinan Pusat haruslah memikirkan untuk memberikan Anugerah Khas kepada Cabang Ipoh Barat kerana sentiasa dapat mengekalkan sejumlah ahli yang ramai walaupun berlaku keluar beramai-ramai. Setidak-tidaknya salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Ipoh Barat hendaklah diwakili oleh ahli yang berkaliber dari Parti Keadilan Rakyat.
Secara umumnya ahli-ahli PKR keluar parti adalah terpencil dan dibandar-bandar besar sahaja. Alasan khusus yang dapat dilihat dibandar tidak ada pokok getah dan sebagai memberi compliment sempena pilihanraya-pilihanraya kecil diMerlimau dan Kerdau hujung minggu ini. Lazimnya jika tidak ada ahli-ahli PKR keluar parti pada musim PRK , ia seumpama tidak cukup syarat.