Sewaktu pucuk pimpinan MCA mengambil keputusan menyerahkan kepada Central Delegates menentukan halatuju Parti, pemimpin-pemimpin yang bertelagah memberi pengakuan yang mereka bersedia patuh dan menuruti kehendak para Perwakilan.
Keputusan tersebut telah memberikan keyakinan baru kepada pengamal politik dalam Parti Politik terbesar bagi orang-orang Tionghua. Telah direncana MCA akan pasti kembali kelandasan asal sebaik sahaja selesai EGM pada 10 haribulan 10. Akan dibuktikan yang semua kritikan yang dilempar terhadap mereka sebelum ini adalah salah.
Perkara yang paling utama yang telah diputuskan oleh para Perwakilan pada EGM tersebut ialah hilangnya kepercayaan terhadap Presiden. Dengan lain perkataan mereka mahukan Presiden Ong berundur secara terhormat. Bagi memberi keadilan kepada Presiden, mereka juga tidak bersedia memberikan kembali jawatan Timbalan Presiden kepada Dr. Chua. Para Perwakilan bersetuju mengembalikan hak Dr. Chua sebagai ahli yang sebelumnya telah dipecat oleh Majlis Presiden.
Tuan Presiden yang sama sekali tidak menyangka akan menerima hukuman seperti itu lalu merujuk Perlembagaan untuk terus berkuasa. Terdapat satu Fasal dalam Perlembagaan Parti yang menyatakan Tuan Presiden tadi tidak secara otomatis telucut jawatannya memandangkan usul hilang kepercayaan tersebut tidak mendapat majoriti yang diperlukan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan. Kaedah yang sama juga terpakai bagi orang Nombor 2 dalam Parti. Akhirnya Dr. Chua kembali berkongsi kuasa.
MCA terus bergolak. Hari demi hari berbagai pemecatan mengambil tempat. Ada pihak-pihak yang merasakan mereka boleh menyelamatkan Parti dengan menganjurkan satu lagi EGM. EGM yang dimaksudkan ini boleh membuat ketetapan supaya barisan kepimpinan tertinggi dipilih semula. Walau bagaimanapun usaha-usaha pihak berkenaan gagal mendapatkan restu walaupun kuota memangil EGM mencukupi. Kini pemikiran seluruh anggota MCA tertumpu kepada Agenda 28/11 sama ada ianya boleh/akan berlaku. Sekiranya akan ada satu lagi EGM mampukah ia melakar satu keputusan yang lebih mutlak dari apa yang terungkai dalam EGM 10/10.
Kita tidak tahu apakah masaalah sebenar yang dihadapi oleh MCA dan sejauh mana ia menjejaskan BN. Mereka mengambil masa begitu panjang untuk membaikpulih rumahtangga. Nampaknya orang-orang yang memimpin MCA sudah berhenti berpolitik. Sudah tidak kedengaran lagi suara-suara pemimpin yang sanggup menjadi penyelesai masaalah. Ruang Arena yang begini luas hanya diguna untuk bercakaran sesama pemimpin. Setiap hari cakap-cakap yang kita dengar hanyalah berkisar kepada pemilikan kuasa. Agenda kuasa ini sajalah yang sedang berkumandang. Memang benar kuasa itu penting. Tetapi apa gunanya kuasa jika pertubuhan semakin lemah. Lebih menyedihkan apa gunanya kuasa jika sudah tidak ada yang percaya kepada perjuangan.
Masih bolehkah diharapkan kepada MCA untuk menggalas harapan sebilangan besar masyarakat? Kehidupan mesti diteruskan. Kepada yang merasakan mereka hanya membuang masa sebenarnya masih belum terlambat untuk bersama-sama Chua Jui Meng dalam PKR atau DAP yang sentiasa membuka pintu seluas-luasnya . Walau bagaimanapun MCA belum lagi layak menjadi bahan sejarah. Tetapi jika para pemimpinnya terus mendesak dan mengalih segala kepentingan, apa lagi pilihan yang ada?