Tajuk Loceng Menjadi Penyelamat ini diterjemah dari Ungkapan “Saved by the bell”. Ungkapan ini biasanya digunakan dalam sesuatu pertandingan Tinju dimana Peninju yang sedang dibelasah bertubi- tubi oleh lawannya diselamatkan oleh “Loceng” yang diguna untuk memberikan isyarat tamat masa untuk pusingan berkenaan daripada terus dibelasah. Tanpa bantuan Loceng ini juga keputusan Technical Knock Out (TKO) boleh berlaku.
Perkara yang serupa ini juga boleh terjadi diPermatang Pasir didalam Pilihanraya Kecil baru-baru ini. Andaian yang saya maksudkan ialah sekiranya keputusan memecat Chua Soi Lek seorang Ahli Politik Barisan Nasional dibuat sebelum hari mengundi sudah tentu kekalahan Barisan Nasional akan menjadi lebih parah. Sekurang- kurangnya menjadikan majoriti kemenangan PAS lebih tinggi jika tidakpun melenyapkan “deposit”. Pengaruh Dr. Chua tersangat meluas tambahan pula sebelum dipecat beliau adalah Timbalan Presiden Parti komponen Barisan Nasional. Buat masa ini Dr. Chua masih memegang Jawatan sebagai Penyelaras Projek-Projek Barisan Nasional diNegeri-Negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Tidak mustahil bagi penyokong-penyokong beliau diPermatang Pasir beramai-ramai mengzahirkan undi protes.
Satu pelajaran yang sangat berguna yang mesti disedari oleh para pembesar Barisan Nasional ialah jangan mencemuh orang lain. Sebagai contoh beberapa pemimpin BN (UMNO) mengatakan Parti Pakatan Rakyat “retak menunggu belah” sebaik sahaja ADUN Lunas diberitakan keluar parti dan membuat beberapa ramalan lain, sebaliknya rumah mereka sendiri boleh menyembah bumi ekoran dari pemecatan dalam MCA ini.
Peristiwa dalam komponen Barisan Nasional ini merupakan satu permulaan sahaja. Mungkin akan ada penyokong- penyokong orang yang kena pecat ini mengambil keputusan keluar parti dan mungkin juga ianya termasuk dari kalangan Ahli Parlimen.
Dalam apa-apa keadaanpun Loceng hanya boleh menjadi Penyelamat ketika didalam gelanggang sahaja. Diluar sana, kitalah seharusnya bertanggungjawab kepada keselamatan sendiri. Falsafahnya mudah saja iaitu kawal ketawa kita sebelum kita diketawakan.