Didalam tulisan mengenai Manik Urai sebelum ini saya telah menyebut bahawa Pilihanraya ini terpaksa diadakan oleh sebab berlaku kematian terhadap penyandangnya. Ia diadakan semata-mata untuk mengisi kekosongan dan sama sekali tidak boleh mengubah Kerajaan.
Masa menjual Jenama telah sampai kepenghujung. Kurang lebih 30 jam dari sekarang para pengundi sudah tidak boleh diganggu lagi. Mereka sudah mendengar beberapa penjelasan yang tidak menepati persoalan yang mereka ajukan. Mereka juga sudah mengambil catitan segala janji-janji yang bertaburan dimuka laman. Mereka dilihat kecewa kepada janji-janji yang bersyarat. Mereka juga kecewa dengan tulisan- tulisan bagi pihak mereka yang mengambarkan mereka dibiar menderita sedangkan mereka tidak perlu mengubah apa-apa untuk menghindarkannya. Untuk melaksanakan projek-projek pembangunan dikampong-kampong bukankah sudah ada tersedia JKKP sebagai agensi Kerajaan Pusat?
Mengikut sesuatu perkiraan keputusan Pilihanraya Kecil ini besar kemungkinan akan ditentukan oleh para pengundi muda (saluran 4 dan 5). Golongan ini sudah tentu mahu memberikan pertimbangan berdasarkan perkara-perkara yang melibatkan masa depan mereka. Mereka tidak berkecil hati apabila adik-adik mereka menerima (peralatan penting) durian runtuh kerana mereka tahu itu projek “pukul anak sindir menantu” iaitu saikologi terhadap Saluran 1 dan 2.
Yang membingungkan golongan muda ini adalah perkara-perkara seperti PPSMI. Persoalan yang membelenggu benak mereka mengapa semasa hendak dipertahankan Dasar itu terlalu banyak bukti kejayaan ditonjolkan? Dan apabila hendak dimansuhkan pula mengapa alasan “poor english” pula dijadikan sebab? Satu soalan lagi yang ingin mereka ajukan mengapa semasa hendak dimulakan dulu tidak terlebih dulu bersedia dengan Guru-Guru yang terlatih dalam Bahasa Inggeris? Dan untuk diberhentikan pula mengapa perlu masa sehingga 24 bulan lebih? Bukankah tempoh tersebut akan terus merugikan rakyat berbillion juga?
Kepada Warga Pengundi diManik Urai saya ucapkan selamat mengundi. Saya faham undi itu RAHSIA dan ianya hak mutlak saudara.